Nak Kerja Apa?

Ini soalan yang sering ditanya oleh ibu bapa, saudara mara, kawan kawan, cikgu cikgu semasa saya masih berada di alam persekolahan.

Nanti dah besar nak kerja apa? Nak jadi apa?

Jawapan klise yang biasa dijawab oleh saya dan rakan sebaya.

Nak jadi doktor. Nak jadi pilot. Nak jadi engineer. Nak jadi lawyer.

Kenapa jawapan ini sering diterima oleh orang dewasa apabila diajukan soalan ini kepada anak kecil? Jawapannya mudah. Ini adalah kerana anak anak kecil ini telah dibasuh otaknya dengan tawaran lumayan yang ditawarkan oleh pekerjaan tersebut.

Segelintir anak kecil je yang jawab; Saya nak jadi seorang usahawan.

Betul tak?

Kebanyakan ibu bapa, amat risau terhadap masa depan anak mereka. Ibu bapa ini mahu anak anak mereka berjaya dengan menjawat jawatan kerjaya kerjaya yang disebut di atas.

Ini dipanggil mentaliti. Disebabkan ibu bapa ini telah diasuh oleh ibu bapa (datuk nenek) mereka sebelum ini. Maka cara yang sama mereka gunakan untuk membasuh otak anak anak mereka pula.

Bagaimana ibu bapa membasuh otak anak anak kecil ini? Dengan menakut-nakutkan mereka. Kalau tak belajar sungguh-sungguh, nanti hidup susah, tak ada duit, macam mana nak makan, nak beli rumah, beli kereta, shopping raya dan sebagainya.

Walaupun cara membasuh otak ini berjaya melahirkan ramai bijak pandai, tetapi lumrahnya ia adalah satu sistem yang hanya mendidik mental anak kecil ini untuk fokus kepada mencapai kejayaan semata-mata. Cara ini tidak mendidik anak anak ini daripada bersedia untuk menghadapi kegagalan.

Ketahuilah, sistem ini amat buruk kesannya apabila anak anak kecil ini menghadapi kegagalan. Anak anak kecil ini tidak tahu macam mana untuk tackle situasi kegagalan dan terbalikkan ia menjadi satu titik permulaan untuk mencapai kejayaan.

Kenapa saya nak bercakap topik ini?

Saja gatal tangan tak tahu nak tulis apa. Jadi saya tulis apa sahaja yang bermain dalam fikiran saya ini.

Dah lama tak menulis. Nak asah balik skill menulis, kena lah menulis.

Hei anak kecil, nanti dah besar nak jadi apa?